Abdullah suburkan demokrasi
TARMIZI ABDUL RAHIMtarmizi.rahim@utusangroup.com.my
UALA LUMPUR 6 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah malam ini menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi ‘Jasamu Dikenang’ sempena persaraan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Turut diraikan pada majlis yang sama ialah isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah.
Hadir meraikan negarawan negara ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Perdana Menteri dalam ucapan penghargaannya berkata, Abdullah sejak mengambil alih pemerintahan negara sebelum ini telah mengamalkan kepimpinan yang memperlihatkan sikap keterbukaan dan bersedia menerima teguran.
Najib berkata, amalan keterbukaan itu telah menyuburkan semangat demokrasi, seterusnya membawa kesedaran kepada masyarakat tentang hak-hak mereka dan kewajipan kerajaan.
“Keadaan ini menuntut kerajaan supaya lebih responsif kepada rakyat. Tun memang terkenal sebagai seorang yang sungguh mesra rakyat.
“Lantaran itu, beliau cukup popular dengan gelaran ‘Pak Lah’ di kalangan rakyat jelata mahupun Ahli-ahli Jemaah Menteri. Gelaran Pak Lah ini begitu sinonim dengan beliau,” katanya.
Sehubungan itu, Najib mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada Abdullah kerana memberikan kepercayaan dan laluan kepadanya untuk menerajui kepimpinan negara.
“Sesungguhnya peralihan kepimpinan yang telah dilakukan di dalam keadaan yang tertib, licin dan sempurna telah dapat membuktikan bahawa kerajaan kita adalah sebuah kerajaan yang begitu stabil dan mantap.
“Proses peralihan kuasa sebegini amatlah penting terutama bagi negara kita yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi dan dalam transformasi untuk menjadi sebuah negara maju,” ujar beliau.
Perdana Menteri seterusnya merakamkan kesyukuran kerana diwariskan dengan kerajaan yang berjaya mengekalkan kestabilan politik, mengukuhkan perpaduan kaum dan membangunkan ekonomi bagi mengisi erti kemerdekaan yang telah dicapai lebih 52 tahun lalu.
“Oleh itu, patik akan berusaha menumpukan fikiran dan tenaga bagi meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Tun (Abdullah) dan kepimpinan terdahulu yang telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara membangun yang telah diiktiraf dunia,” katanya.
Pada ucapan sama, Najib turut mengimbas kembali antara sumbangan Abdullah semasa menerajui tampuk kepimpinan negara.
l Slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang - telah menyuntik semangat keyakinan diri pada rakyat Malaysia untuk menjadi satu bangsa yang boleh dan berupaya membawa negara ke tahap kegemilangan.
l Penekanan kepada pembangunan modal insan yang dijadikan sebagai salah satu teras utama kepada Misi Nasional Negara bagi melahirkan masyarakat ‘Minda Kelas Pertama’.
l Penggubalan Pelan Integriti Nasional bagi memantapkan nilai etika dan integriti secara bersepadu antara sektor awam dan swasta.
l Pengenalan konsep Islam Hadhari bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam maju yang berasaskan kepada acuan Malaysia.
l Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang dihormati dan dipandang tinggi, kerana mengamalkan budaya integriti dan menolak rasuah dalam semua aspek kehidupan.
l Suruhanjaya Pelantikan Hakim bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam sistem kehakiman negara.
l Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau Pemudah yang antara lain bertanggungjawab mengurangkan kerenah birokrasi dalam beberapa aspek penyampaian perkhidmatan awam supaya pelaksanaannya lebih berkesan.
l Pelaksanaan pembangunan wilayah ekonomi melalui konsep koridor yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan peluang secara sama rata ke seluruh negara.
l Pemodenan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi terkini dan memfokuskan strategi pertanian secara komersial - Pertanian merupakan satu perniagaan yang menguntungkan'.
l Terus memartabatkan Malaysia di persada dunia dengan diberi kepercayaan memegang tampuk Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).
Pak Lah penasihat pembangunan koridor
KUALA LUMPUR 6 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penasihat pembangunan koridor negara.
Najib mengumumkan demikian dalam ucapan beliau sempena majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berangkat menghadiri majlis itu.
Turut diraikan, isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya menyatakan komitmen memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Najib di samping sedia berbakti kepada negara sehingga akhir hayatnya.
"Kerja saya selama ini kepada negara selama 45 tahun, sebagai pegawai kerajaan dan pemimpin adalah ibadah.
"Mana mungkin kerja ibadah perlu dihentikan, sebaliknya ia perlu diteruskan sehingga akhir hayat, walaupun dah tidak pegang jawatan dalam kerajaan," katanya.
Abdullah pada akhir ucapannya juga meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya semasa memimpin negara beliau telah melakukan kesilapan.
"Saya minta maaf sekiranya saya telah melakukan kesalahan, saya akui ia adalah kesilapan saya.
"Tetapi percayalah saya langsung tiada niat lain, saya jujur dan ikhlas berkhidmat demi kebaikan agama, negara, bangsa dan rakyat," katanya.
Najib mahu pemimpin berterus terang dengan rakyat
KUALA LUMPUR: Sambil mengakui pentingnya kerajaan mendapat kepercayaan rakyat, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu daripada cara terbaik memenangi hati mereka ialah dengan berterus terang."Beritahu mereka perkara sebenar. Jika kita capai kejayaan, beritahu kepada mereka bahawa dasar kita adalah betul. Jika dasar tidak berkesan, kita harus berani memberitahu mereka bahawa kita membuat kesilapan tetapi kita ingin membaiki keadaan. Saya rasa rakyat akan menghargainya.
"Walaupun kita berada dalam kerajaan, kita adalah manusia biasa, dan manusia sentiasa membuat kesilapan. Yang penting ialah bukannya kita hendak membuat kesilapan tetapi bagaimana kita sedar daripada kesilapan itu. Semoga kita tidak melakukan banyak kesilapan.