PUTRAJAYA 6 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelanjakan RM39 juta untuk menjaga keselamatan di lima pilihan raya kecil yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu.
Bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini, dijangkakan perbelanjaan PDRM mencecah RM5 juta.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusof berkata, perbelanjaan keselamatan itu bagi menampung kos penginapan, makan, tuntutan elaun tugas rasmi anggota, petrol, penyelenggaraan kenderaan, perjalanan dan utiliti.
Menurutnya, perkiraan itu berdasarkan faktor keluasan sesebuah kawasan pilihan raya dan situasi keselamatan semasa kawasan terbabit.
"Pecahan perbelanjaan itu melibatkan kos RM2.82 juta di Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu (RM15.3 juta), Parlimen Bukit Gantang (RM10.07 juta), DUN Bukit Selambau (RM6.39 juta) dan DUN Batang Air (RM4.6 juta).
"Bagi DUN Penanti, saya merayu parti politik yang terlibat supaya tidak menimbulkan sebarang elemen ketegangan kerana ia akan menyebabkan kos perbelanjaannya menjadi lebih tinggi lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Abu Seman memberitahu, seramai 15,114 anggota polis terlibat dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang lima pilihan raya kecil tersebut diadakan.
"Bagi Permatang Pauh seramai 5,401 anggota polis terlibat, Kuala Terengganu (3,376), Bukit Gantang (3,307), Bukit Selambau (2,179) dan Batang Air (851)," katanya.
Menurutnya, penggunaan tenaga kerja dan jumlah peruntukan besar diperlukan bagi memastikan pilihan raya kecil terbabit dilaksanakan dalam keadaan selamat dan lancar.
Kata beliau, ini supaya rakyat berasa selamat untuk keluar melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Semasa pilihan raya kecil itu diadakan, polis perlu memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar dan tanpa gangguan," katanya.
Utusan 07/05/09
No comments:
Post a Comment