Wednesday, May 6, 2009

TRANSFORMASI - DEMOKRASI KE KUKU BESI???

Mohd Sabu ditangkap sebentar tadi Harakahdaily

Wed | May 06, 09 | 3:27:56 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ditangkap polis jam 3.10 petang tadi di hadapan Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat dekat sini.

Sekumpulan anggota polis di percayai Special Branch, dengan tiga buah kenderaan, menyerbu beliau, sebaik sahaja Naib Presiden PAS itu keluar dari restoran berkenaan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang berada di tempat kejadian, menyelar tindakan polis yang dianggap beliau tidak bertamadun itu.

"Tangkapan dibuat secara kasar dan tidak bertamadun, mereka (polis) menyerbu dengan menangkap beliau tanpa mengemukakan waran.

"Saya dan beberapa rakan lain cuba membantu abang Mat (Mohamad Sabu) tetapi dihalang anggota yang ramai," ujarnya kesal.

Dipercayai penangkapan terhadap Naib Presiden PAS ini dibuat ada kaitan dengan perhimpunan munajat yang akan dianjurkan subuh esok (7 Mei), bersempena persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.

Ianya berkemungkinan susulan daripada penahanan aktivis Bersih, Wong Chin Huat dirumahnya semalam.

"Ke mana Mohamad Sabu dibawa, apa tujuan mereka tidak diberitahu," kata Salahuddin.

Mohamad Sabu ditahan polis

KUALA LUMPUR 6 Mei - Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu ditahan polis di sebuah restoran di Jalan Pahang Barat di sini petang ini berhubung penganjuran majlis solat hajat sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan penahanan pemimpin kanan Pas itu.

Difahamkan, Mohamad ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 oleh kira-kira 10 anggota polis berpakaian preman sewaktu beliau meninggalkan restoran itu yang terletak berhampiran Hospital Tawakal, kira-kira pukul 3 petang ini.

Sebelum itu dia dikatakan sedang minum bersama beberapa ahli Pas termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub di restoran berkenaan.

Juga difahamkan dalam kejadian tersebut, beberapa ahli Pas itu cuba menghalang penahanan Mohamad tetapi tidak berhasil.

Malam tadi, aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat yang dikatakan terlibat dalam gerakan baju hitam menjelang persidangan DUN Perak, ditahan polis kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948.

Dia ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini beberapa jam selepas memberikan kenyataan pada satu sidang akhbar pagi semalam.

Difahamkan, polis akan menyoal siasat lelaki terbabit untuk mengumpul beberapa lagi maklumat terutamanya mengenai penyebaran beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan.

Tindakan tegas cuba gagalkan sidang DUN

KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menahan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang jika mereka terus berdegil.

Beliau berkata, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai menghasut orang ramai supaya tidak mengiktiraf kerajaan Perak yang ditubuhkan secara sah.

Tambahnya, bagi memastikan kelancaran, polis melarang keras terhadap sebarang perhimpunan yang cuba diadakan semasa sidang DUN tersebut.

"Ini merupakan satu perbuatan menghasut orang ramai dan melakukan kesalahan di bawah kanun keseksaan dan Akta Polis 1967," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.


No comments:

Post a Comment